KUANTAN: Tiga termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Segamat dekat Bandar Dua, Paloh Hinai, Pekan pada Isnin.

Dalam kemalangan yang dilaporkan jam 11.07 pagi itu, lapan mangsa cedera ringan dan tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Toyota Vios.

Menurutnya, mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga emas serta seorang lelaki dewasa.

"Mangsa yang selamat pula terdiri 10 lelaki dan seorang wanita warga emas," katanya.

Zulfadli berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Anggota bomba segera membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan terlibat.

"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan," katanya. - Sinar Harian